Azmawida, Abdullah (2025) Pembangunan kerangka konseptual niat gelagat pengguna menurut perspektif islam. Doctoral thesis, Universiti Utara Malaysia.
Abstract
Pengguna merupakan salah satu pihak yang memainkan peranan penting dalam sektor ekonomi dan pemasaran sesebuah negara. Di Malaysia pada masa ini, pelbagai masalah yang timbul kebanyakannya berpunca daripada gelagat pengguna yang dipengaruhi corak penggunaan Barat. Berdasarkan kajian-kajian gelagat pengguna, kajian mengenai niat gelagat sering dijalankan bagi membolehkan para pemasar memahami keperluan dan kehendak pengguna. Dalam kajian niat gelagat pengguna Muslim, para pengkaji juga turut menggunakan teori yang diperkenalkan oleh sarjana Barat. Walaupun al-Quran dan sunnah telah mengariskan konsep gelagat, teori gelagat pengguna Muslim sedia ada masih kurang memberi penekanan terhadap elemen niat. Terdapat juga pengkaji Muslim yang telah membentuk kerangka konseptual berkaitan niat gelagat menurut perspektif Islam, namun mereka kurang memberi perhatian kepada gelagat pengguna Muslim dalam aktiviti penggunaan. Timbul persoalan mengenai apakah konsep niat dan faktor-faktor yang perlu ada dalam mempengaruhi niat gelagat pengguna dalam aktiviti penggunaan menurut perspektif Islam. Justeru, penyelidikan ini bertujuan untuk mentakrifkan konsep dan faktor-faktor yang perlu ada dalam mempengaruhi niat gelagat pengguna Muslim menurut perspektif Islam. Reka bentuk penyelidikan yang digunakan adalah bersifat kualitatif dengan pendekatan penerokaan. Data dikumpul melalui analisis dokumen dan temu bual separa berstruktur. Hasil kajian mendapati bahawa konsep niat bergelagat menurut perspektif Islam adalah berbeza dengan konsep niat dalam pemikiran Barat. Iman, ilmu, nafsu serta muhasabah telah dikenal pasti sebagai faktor yang diperlukan dalam mempengaruhi niat seseorang pengguna Muslim. Penyelidikan ini menyumbang sebuah kerangka konseptual niat bergelagat menurut perspektif Islam yang boleh digunakan oleh pengkaji niat bergelagat pengguna Muslim pada masa hadapan. Konsep niat dan faktor yang mempengaruhi niat yang telah dikenal pasti Adalah penting untuk diterapkan dalam pendidikan kepenggunaan. Hal ini perlu dilakukan untuk mendidik pengguna Muslim agar mengaplikasikan konsep niat menurut Islam dalam aktiviti penggunaan
| Item Type: | Thesis (Doctoral) |
|---|---|
| Supervisor : | Mohd Noor, Mohd Murshidi and Mohd Yusof, Syarifah |
| Item ID: | 12058 |
| Uncontrolled Keywords: | Niat pengguna, Pengguna Muslim, Aktiviti Pengunaan, Nafsu, Muhasabah |
| Subjects: | B Philosophy. Psychology. Religion > BP Islam. Bahaism. Theosophy, etc H Social Sciences > HF Commerce. > HF5415.33 Consumer Behavior. |
| Divisions: | Islamic Business School |
| Date Deposited: | 29 Mar 2026 03:02 |
| Last Modified: | 29 Mar 2026 03:02 |
| Department: | Islamic Business Scool |
| Name: | Mohd Noor, Mohd Murshidi and Mohd Yusof, Syarifah |
| URI: | https://etd.uum.edu.my/id/eprint/12058 |

